Sunday 29 December 2013

Selamat Tahun Baru 2014, Tahun Naik Harga.

Hello.

Kali terakhir aku menulis kira-kira empat bulan yang lalu. Lama sangat tak menulis dalam laman blog ni. Bukan kerana kesibukan. Aku hanya buat-buat sibuk. Banyak perkara aku boleh kongsikan sepanjang empat bulan aku menghilang ni. Namun lepak tetap lepak. Itu pegangan seorang kutu lepak.

Jadi, aku mulakan comeback yang dramatik ini dengan ucapan SELAMAT TAHUN BARU 2014! 

Selalunya sambutan tahun baru akan selari dengan wujudnya azam tahun baru. Aku ucapkan semoga berjaya dengan azam kau orang.

Tahun 2014 diramalkan akan menjadi tahun yang sukar. Kos sara hidup naik mendadak. Contoh perbelanjaan yang naik pada 2013/2014 ialah:

1. Petrol dan Gas
2. Elektrik
3. Gula
4. Tol Lebuhraya
5. Cukai yang pelbagai (pintu, perniagaan, GST, RPGT dll)
6. Dan lain-lain

Ramai yang meramalkan banyak lagi kenaikan harga barang yang akan berlaku pada 2014. Ada khabar angin harga tepung juga akan naik. Banyak juga khabar angin lain yang aku dengar. Jadi kita bersedia je lah.

Sekali lagi.

SELAMAT TAHUN BARU 2014! - daripada KUTU LEPAK.

Welcome 2014.


Friday 16 August 2013

Ucapan Selamat Hari Raya

Rasanya belum terlambat lagi untuk aku mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua pembaca dan kenalan.

Lama juga aku cuti raya. Lama tidak menulis. Lama tiada update.

Raya tahun ni aku lihat ramai yang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit malaysia. Beli baju kurung pereka ternama. Sibuk buat urusan tukar kereta. Beli pakaian berjenama. Perabot berjenama.

Tapi bukan tahun ni sahaja aku nampak fenomena macam ni. Tahun-tahun yang lepas pun sama.

Aku rasa, kalau nak tunjuk mewah tak perlu tunggu hari raya. Bila-bila masa boleh tunjuk. Itu style orang yang betul-betul kaya. Ala-ala self made millionaire. Tapi kalau setakat tunjuk mewah di hari raya aidilfitri padahal semuanya berhutang. Korbankan duit simpanan. Apalah maknanya semua tu.

Think!
SELAMAT HARI RAYA!

Friday 2 August 2013

Cara Renew Road Tax dan Insurans Kenderaan

Aku baru lepas renew atau memperbaharui cukai jalan dan insurans untuk dua buah kereta dan sebuah motor. Tapi bukan semuanya harta kepunyaan aku. Malah bukanlah jugak aku ni agen insurans kenderaan. Kebetulan road tax kereta aku dan pak cik aku mati bulan ni. Minggu depan kan nak beraya Eidulfitri. Maka menggelabah beruk lah semua.

Korang mesti nak cakap " Apalah. Renew road tax pun nak bagitahu ke?". Lantak korang. Aku tahu ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara memperbaharui road tax atau cukai jalan. Contohnya pemilik kereta baru yang kali pertama memiliki kereta atau pemilik kenderaan yang selama ni serahkan semua tugas A sampai Z kepada agensi insurans kenderaan. Kemudian terpaksa bayar upah mahal ataupun lebih malang lagi kena kelepet (tipu).

Jadi aku nak bagitahu asasnya sebab aku pun bukan mahir sangat pasal cukai dan insurans ni.

Step 1:

Pastikan dokumen lengkap. Paling penting ialah geran. Kalau tak ada atau dipegang oleh bank / kedai, korang ada hak untuk minta. Dengan tujuan memperbaharui cukai jalan.

Step 2:

Pergi ke Agensi Insurans Kenderaan. Sekarang ni memang dah bersepah Agensi Insurans ni. Tinggal nak pilih je. Kalau boleh pergi ke agensi yang korang dah biasa atau dah tahu reputasinya. Pilih juga agensi yang bagi service yang bagus. Ini untuk mengelakkan korang ditipu dan mengelakkan korang berhadapan dengan urusan yang bermasalah.

Step 3:

Beri dokumen kepada pegawai bertugas. Insure (perkataan ni aku hentam) kan kenderaan anda mengikut market value atau mengikut harga yang korang mahu. Korang ada hak untuk menetapkan harga yang ingin di insure kan tetapi kalau boleh biarlah harga yang masuk akal. Biasanya market value boleh di semak di agensi tu. Katakanlah agensi tu letakkan harga yang tinggi-tinggi dan enggan mengikut harga market value atau harga yang korang mahu, jangan panik. Jangan takut duit licin. Korang ada hak pergi ke agensi lain.

Step 4: 

Setelah harga dipersetujui. Agen insurans itu akan buat kira-kira dan menyebutkan harga. Korang WAJIB meminta untuk melihat kira-kira atau calculation tersebut. Tanya apa-apa soalan yang anda ingin tahu tentang harga yang diberikan. Jika harga tidak masuk akal atau ada charge yang meragukan. Cepat-cepat cabut. Survey tempat lain pula. Jika korang setuju dengan harga yang disebutkan. Sila proceed ke step 5 tanpa berlenggang kangkung lagi..

Step 5:

Buat bayaran dan dapatkan penyata insuran korang. Ringankan mulut untuk meminta diskaun. Kadang kala memang ada diskaun diberikan. Tapi kalau korang tak tahu atau tak minta mungkin agen akan diam sahaja. Siapa tak nak untung lebih kan?

Step 6:

Bawa semua dokumen tadi terutamanya GERAN kenderaan korang ke pejabat JPJ atau pejabat pos. Tadi korang baru setel kan insurans. Road tax belum ada lagi. Road tax tidak boleh diperbaharui tanpa insurans yang aktif. Korang bagi geran dan penyata insuran pada pegawai JPJ atau Pos yang bertugas. Cakap nak buat road tax. Lepas tu buat bayaran. Rate bayaran ikut kapasiti enjin kenderaan. Contoh: 1600cc bayarannya RM 90. Tak sampai 5 minit dah siap! Jangan pula korang bagi pada pegawai JPJ yang buat road block atau abang posmen. Itu namanya cari pasal.

Bila road tax dah siap korang kini bebas meluncur dengan kenderaan masing-masing. Yang nak balik raya boleh balik raya. 

Tapi sekarang ni sistem JPJ tengah masalah. Tak boleh buat road tax di pejabat pos. Semua sistem di pejabat pos offline. Akulah mangsanya. Pejabat JPJ je yang boleh keluarkan road tax buat masa ni. Berapa ribu orang pulak nak berpusu-pusu kat situ. Berasap je rasa. Kalau yang malas atau tak ada masa sangat boleh je upah Agensi Insurans untuk uruskan semua. Tapi kosnya akan meningkat dan berisiko terdedah pada penipuan.

Apa pun aku nasihatkan memandulah dengan berhemah dan rasional. Bukan emosional. Lagi-lagi musim perayaan ni.


Road tax RM 24K.
Teka siapa punya?

"Pandu dengan selamat. Raya dengan selamat.
Selamat!" - Kutu Lepak

Tuesday 30 July 2013

Tips Menjadi Kutu Lepak Mesra Ekonomi

Aku ni kutu lepak. Aku tahu kos atau perbelanjaan melepak ni boleh mengeringkan kocek kalau tidak dapat dikawal. Siapa kutu lepak macam aku mesti tahu. Kalau dah namanya kutu lepak, tidaklah kami melepak 15 minit atau setengah jam cuma. Paling kurang pun 2 atau 3 jam. Dan tidak lah pula kami melepak 2 kali dalam sebulan. Kami pantang ada masa terluang. HarHarHar!

Sambil melepak dan borak-borak berjam-jam ni mesti lah kena ada pembasah tekak. Kalau tidak mahu kering tekak, nak borak pun jadi tak lancar. Kalau perut berkeroncong pun kena keluar belanja. Banyak lagi kos yang perlu ditanggung oleh kutu lepak sebenarnya. 

Kali ini aku nak kongsi tips melepak yang bajet atau mesra ekonomi.

1. Makan di rumah sebelum keluar melepak.

Kalau boleh sebelum keluar melepak dengan kawan-kawan makan dulu di rumah. Kalau tinggal dengan keluarga atau isteri sudah cukup bagus. Selalunya hidup berkeluarga makanan di rumah akan selalu ada. Bagi yang bujang pula, korang masak lah apa-apa yang simple sebelum keluar. Asalkan harganya lebih murah daripada di tempat yang bakal korang kunjungi. Janji kenyang sudah cukup. Nanti masa melepak korang tak payah makan lagi. Sebab korang kan dah kenyang. Zaman sekarang kalau makan kat luar boleh tahan mahalnya. Lagi-lagi kedai mamak 24 jam atau mapley.

2. Keluar melepak dengan motosikal.

Rasanya semua orang ada motosikal. Terutamanya orang bujang macam aku. Bukannya apa, motosikal ni keperluan juga. Senang nak pergi mana-mana terutamanya tempat kerja. Tak payah harung jam. Tak payah bayar tol. Yang penting menjimatkan. Sama konsepnya kalau nak melepak. Keluar naik motosikal dah tentu jimat berkali ganda berbanding kereta.

3. Carpool

Kalau ada member yang tinggal berdekatan, ajaklah dia carpool atau pergi bersama-sama. Ataupun, mintak tolong kawan yang satu jalan jemput di rumah. jadi tak perlu kita keluar kenderaan dan duit minyak kita. Nampak tak permainan dekat situ. Tapi jangan lupa! Belanjalah member korang tu teh o suam segelas paling kurang masa lepak nanti.

4. Masa lepak order air yang murah.

Masa melepak selalunya mesti rasa dahaga. Lepak pulak sampai 2-3 jam. Mana cukup segelas air kan? Kalau korang nak jimat, orderlah air yang murah. Contohnya: ais kosong, teh o ais, sirap dan sebagainya. Jadi kos melepak korang dapat di minimakan kerana korang akan order lebih dari segelas air. Kalau korang order jus buah yang katakan harganya RM 3.50 segelas, bila korang order 3 gelas total dah RM 10.50. Besar figure tu.

5. Jangan bawa rokok (kalau korang merokok).

Masa keluar melepak, rokok tinggalkan sahaja dekat rumah. Kawan-kawan korang yang juga kutu lepak mesti ada yang merokok juga. Jadi kalau rasa nak merokok mintak rokok mereka secara rotation atau bergilir-gilir. Kalau dah nama kawan baik atau kawan melepak mesti 100% tak akan berkira. Kalau korang tak sampai hati. Ajak kawan kongsi duit untuk beli sekotak rokok. Kemudian kongsi hisap sama-sama. Jimat sikit daripada korang habiskan sekotak rokok sendiri masa melepak. Taktik ini juga berkesan untuk mengelakkan korang yang menjadi mangsa pow. Sebab korang tak bawa rokok.

6. Setiap kali keluar lepak ajak sekali kawan yang baru lepas keraian.

Keraian ini ada macam-macam. Contohnya hari lahir, baru kahwin, baru mula kerja, naik pangkat, dapat duit kutu, menang peraduan teka teki dalam majalah dan sebagainya. Biasanya orang-orang yang menyambut keraian ni sangat murah hati. Selalunya dia orang yang akan bayar kos makan minum lepas korang melepak. Silap-silap dia ajak korang enjoy lepas tu. If you know what I mean.

Cukuplah tips yang aku bagi. Untuk orang yang melepak sekali sekala mungkin tak merasa bebanan kos melepak ni. Tips ini aku kongsi untuk kutu lepak sahaja. Diulangi! KUTU LEPAK sahaja. Iaini orang yang setiap masa lapangnya dihabiskan untuk melepak. Dah terang lagi bersuluh kalau korang buat benda yang aku kongsi ni, mesti boleh jimat. Oh ya! Tips ini juga bukan untuk kutu lepak yang berpendapatan tak terluak.

Bagi korang yang anggap ini satu post yang serius,
mohon korang tarik nafas yang panjang dan bertenang. 
Tapi jujur aku mengaku ada antara tips ini yang aku amalkan.
Peace!
Why so serious? - The Joker




   

Monday 29 July 2013

Cara Menyimpan Duit Yang Betul

Aku dah pernah pergi beberapa seminar ilmu kewangan. Membaca buku ilmu kewangan pun adalah beberapa. Yang aku perhati semua pakar mempunyai pendapat yang sama dalam cara untuk menabung atau menyimpan duit yang betul.

Bagi aku seorang manusia yang waras mesti ada kesedaran untuk menabung atau menyimpan duit hasil daripada pendapatan bulanan kita. Jadi kalau nak menyimpan eloklah ikut cara yang betul supaya nampaklah hasilnya kelak.

Cara yang salah yang ramai orang buat (termasuk aku):

Dapat gaji - bayar hutang atau komitmen - belanja ikut kemahuan - ada  duit lebih baru simpan (itupun kalaulah ada lebih).

Cara yang betul mengikut pendapat pakar-pakar kewangan:

Dapat gaji - asingkan duit simpanan, sekurang-kurangnya 10% daripada gaji - bayar hutang atau komitmen - lebihnya buat belanja harian.

Memang nampak kontra antara kedua-dua cara. Cara yang kedua itu memberi jaminan yang kita akan ada simpanan pada setiap bulan. Manakala cara yang pertama cuma harapan palesu. Aku jamin bila belanja atau shopping, jiwa tak pernah puas lalu duit pun habis. Mana pula baki untuk simpanan?

Lantaran itu, aku berpesan kepada diri sendiri dan kepada korang, jika nak menyimpan ikutlah cara yang betul yaini cara yang kedua. Moh kita cuba buat sama-sama.

No Money, No Honey - they said.

Wednesday 24 July 2013

Senarai Dokumen Untuk Memohon Pinjaman Perumahan

Satu hari aku macam biasa lah tengah duduk melepak minum kopi O di kedai mamak kegemaran. Sambil melepak, belek-belek iklan rumah untuk di jual dalam internet. Tiba-tiba berminat pulak dengan sebuah apartment yang harga boleh tahan berbaloi. Aku pun terus call agent dan buat appointment untuk view.

Masa view memang aku puas hati tengok apartment tu. Agent pun okay, perempuan yang lemah lembut. Jadi dah suka kena lah proceed dengan cari biaya atau pinjaman perumahan. Tapi aku taknak cerita pasal apartment tu waimah pasal agent. Aku nak bagitahu apakah dokumen yang diperlukan untuk memohan pinjaman perumahan daripada bank.

Bila dah minat dengan sesuatu property, korang mesti lah nak beli. Nak beli tak ada cash kenalah buat pinjaman atau loan. Sebab harga rumah bukan RM 24.99. Lagi-lagi zaman sekarang harga rumah dah jadi sangat overprice dan tak munasabah. Aku tahu ramai yang tak tahu dan tak ada pengalaman dalam prosedur jual beli rumah ni. Aku nak senaraikan dokumen yang korang boleh bawa ke bank atau bagi pada agent untuk mendapatkan dana membeli rumah idaman korang :-

1. Salinan photostat IC
2. Slip gaji terkini untuk 3 bulan
3. Penyata bank terkini untuk 3 bulan
4. Penyata tahunan EPF
5. EA Form (jika perlu)
6. Surat pengesahan/Confirmation letter daripada tempat bekerja
7. Dokumen sokongan seperti penyata ASB, tabung haji dan lain-lain.

Jadi macam mudah sangat nak sediakan semua dokumen ni. Bagi aku seorang kutu lepak yang malas, untuk menyediakan dokumen macam ni tak langsung membebankan. Kalau korang rasa susah maka level kemalasan korang adalah di tahap kritikal. Dengan ini, sesiapa yang plan nak beli rumah dan tak tahu apa nak buat bolehlah standby dokumen-dokumen ni dulu.

Kalau pening loan tak lepas boleh lah lepak dengan aku dulu untuk release stress. 
Sambil tu kita fikir macam mana nak settle masalah loan kena reject.

Monday 22 July 2013

Kutu Lepak Celik Pelaburan

Selama ni aku kerja berhempas pulas untuk mendapatkan duit. Tapi kerja membanting tulang, siang malam, tak juga kaya. Duit macam tu jugak, sekejap lebih sekejap kurang. Kalau lepak lebih tak ada lah simpanan lebih. Kalau tak lepak bukan lah kutu lepak. Kena tukar nama jadi kutu embun ke kutu babi. Tapi lama-lama datang kesedaran pada aku. Kenapa tidak kita suruh duit yang bekerja untuk kita. Kesedaran ni datang melalui hobi aku iaitu membaca. Mungkin tuhan nak tunjuk.

Jadi macam mana pula nak suruh duit kerja untuk kita? Beli nombor 4D ke? Pergi tikam lumba kuda ke? Aku mohon korang jangan jadi bodoh dan gelojoh buat perkara haram begitu. Ada satu cara yang dipanggil pelaburan. Laburkan duit simpanan kita supaya jumlahnya bertambah dari masa ke semasa. Jika kita simpan dalam akau simpanan atau bawah bantal, apakah faedah yang bakal kita dapat? Dalam pelaburan ni ada 2 jenis yang aku nak buat;

1. Pelaburan Hartanah.

Daripada bacaan dan pendengaran aku, pelaburan hartanah ini antara pelaburan yang paling selamat dan kurang risikonya. Realitinya, semua pelaburan ada risiko. Pelaburan hartanah ni pulak banyak caranya. Contohnya flipping (beli dan jual) dan sewa (untuk cash flow). Yang aku pasti semua cara menguntungkan kalau kena dengan teknik dan taktik nya. Macam main bola jugak. Kena ada strategi. Kalau untuk long term pun sangat menguntungkan. Jarang ada hartanah yang susut harga.

2. Pelaburan Saham (stock market).

Benda ni aku pun masih tak faham lagi. Sebabnya aku baru nak belajar. Risiko dia mungkin lebih tinggi daripada pelaburan hartanah tetapi return of investment (ROI) nya juga boleh jadi tinggi dan sangat berbaloi. Apa pun sebelum mula apa-apa pelaburan aku nasihatkan belajarlah dulu sedalamnya. Kalau kena teknik dan cara mesti berjaya. Risiko pun boleh korang minimize kan.

Aku harap cita-cita aku nak terlibat dalam kedua-dua pelaburan ni akan menjadi realiti. Macam aku pesan tadi, kena belajar dulu kemudian kena menabung. Modal kita mestilah melalui simpanan bukannya duit daripada berhutang. Sekarang dua benda ni yang aku tengah cari. Ilmu dan modal. Korang pun kena bukak mata pasal pelaburan ni. Kalau setakat kerja makan gaji susah juga nak hidup mewah. Sekarang ni gaji RM4000 pun belum tentu hidup selesa. Jadi kenalah ada ilmu financial sikit. Tapi syukurlah negara kita masih aman.... HaHaHa.

Aku, Kutu Lepak, cuma tulis berdasarkan pendapat peribadi. 
Kalau ada pembetulan atau pendapat amat dialu-alukan.


Saturday 20 July 2013

Tips Berjaya Dalam Interview

Post sebelum ni aku sibuk bagi galakan pada korang untuk berhenti kerja. Tapi kalau lah nak berhenti pun biarlah ada back up atau plan B. Maksudnya di sini eloklah korang dapatkan dulu kerja lain atau set-up perniagaan sendiri. Kalau tak korang umpama menggali kubur sendiri. Nak dapat kerja kalau mengikut prosedurnya mestilah kena pergi interview atau dalam bahasa melayu temu duga. Kalau nak berjaya eloklah korang baca tips daripada kutu lepak macam aku. Setakat ini aku belum pernah kena reject lepas pergi interview atau temu duga.

1. Yakin diri atau confident.

Mula-mula sekali kita kena yakin atau confident. Buang semua rasa gugup. Kalau rasa ragu-ragu baik korang batalkan je interview tu. Tak kiralah jawatan yang ditawarkan besar mana pun kalau kita yakin kebarangkalian untuk diterima adalah tinggi melangit. Panel temu duga pun akan jadi yakin untuk terima kita. Ada ke orang yang nak menggaji pekerja yang lembek dan lesu, yang tiada karisma dan keyakinan diri? Soalan ini mudah dijawab dengan hanya menggunakan prinsip logik akal.

2. Berpenampilan menarik.

Ingin aku tegaskan dan beri ingatan keras kepada korang setiap kali pergi interview pastikan korang berpenampilan formal. Tidak kiralah jawatan apa sekalipun waimah driver lori. Pakaian pula mestilah kemas daripada hujung kepala sampai hujung kaki. Buatlah panel interview jatuh cinta pandang pertama dengan korang. Tak kisahlah kalau muka tak kacak atau muka macam kutu lepak, asalkan ada gaya macam pelakon drama korporat melayu. Lumrah manusia senang terpikat dengan benda yang cantik dipandang. Walaupun korang hipster atau rockers yang tak selesa bergaya kemas, cubalah berlakon sekejap untuk temuduga itu.

3. Komunikasi yang baik dan lancar.

Pasal komunikasi ni mungkin kena ada latihan sikit. Kebanyakan temuduga sekarang dijalankan dalam English. Jadi kena lah mahirkan sikit english korang. Salah itu biasa. Yang penting korang bertutur dengan jelas dan lancar. Setiap soalan yang ditanya wajib dijawab dengan jawapan bernas. Di sini kemahiran menggoreng dan mengayat perlu di asah. Jangan pula gugup dan tergagap-gagap kerana korang ada potensi menjadi bahan ketawa para panel temuduga. 

Maka dengan ini cukuplah 3 tips yang aku rasa paling penting dalam menghadapi interview. Kalau ikut semuanya tanpa gagal, kemungkinan besar korang akan berjaya. Macam aku cakap tadi rekod interview aku 100% berjaya. Tips inilah yang aku percaya dan amalkan. Kalau tak percaya korang boleh cuba.

Semoga Berjaya!

Friday 19 July 2013

10 Tanda Waktu Sesuai Berhenti Kerja

Hidup kutu lepak pun mahu tak mahu kena kerja juga. Jadi tadi aku ada terbaca artikel tentang tanda-tanda dah sampai masa untuk berhenti atau bertukar kerja. Memang sengaja aku cari artikel macam ni. Maklumlah kutu lepak, bila kerja tiga ke empat tahun mulalah bosan. Sekarang aku ingin berkongsi tanda-tanda seperti yang dinyatakan.

1. Bila kamu atau syarikat kamu terjebak dalam skandal.

Lumrah manusia, bila kita buat salah sikit habis kena hentam. Jatuh terus reputasi. Lebih teruk lagi dicaci maki. Walaupun asalnya kita pekerja yang komited, selalu bagi 110% fokus pada kerja namun asbab benda seperti skandal atau salah laku ini pasti akan buat kita tersungkur. Aku rasa ramai yang dah pernah mengalami atau menyaksikan situasi macam ni. Kalau aku memang cepat-cepat aku angkat kaki. Sebab kalaupun kita berubah atau menyesali kesalahan tu, orang akan tetap pandang serong dan hilang percaya.

2. Syarikat ada tanda nak merosot, nak lingkup atau gulung tikar.

Kalu setiap bulan reputasi syarikat merosot maka aku nasihatkan cepat-cepat lah mohon kerja lain untuk masa depan yang lebih cerah. Jangan biarkan korang melingkup sekali dengan syarikat itu.

3. Tiada cabaran dalam pekerjaan atau jawatan.

Kejadian ini biasanya berlaku pada orang yang melakukan kerja rutin, maknanya setiap hari buat kerja yang sama. Contohnya operator pengeluaran. Sampai satu tahap korang boleh buat kerja sambil tutup mata sebagai tanda kerja korang dah tidak mencabar mana. Bagi aku memang bosan bila dah ke tahap itu. Eloklah kalau berhenti cari pengalaman dan cabaran baru.

4. Tidak belajar sesuatu yang baru atau tiada kemajuan diri.

Hidup kita ni sepatutnya biarlah semakin maju seiring dengan hari yang berlalu. Aku yang kutu lepak pun tahu prinsip ni. Kalau setiap hari sama sahaja level pengetahuan dan skill kita maka tiadalah gunanya. Bagi aku orang yang tidak maju seiring dengan masa ibarat bangkai bernyawa sahaja. Jadi kalau korang ada keinginan memajukan diri, bila kejadian ini berlaku maka cepat-cepatlah ubah angin untuk belajar benda yang baru.

5. Disisihkan oleh pengurusan.

Bila tengah bekerja ada tak orang yang sedar kewujudan korang? Penting tak pendapat atau hasil kerja korang pada syarikat? Atau bila korang ada atau tak ada situasi department sama sahaja tiada perubahan. Jika ada kursus atau aktiviti dalam department, ada ke tidak korang dijemput? Bos di mana-mana pun biasanya ada kroni dan tukang kipas. Jadi yang kroni ini sahaja yang dapat keutamaan. Nasihat aku eloklah angkat kaki jika berdepan pengurusan macam ni. Susah korang nak mengembangkan kerjaya.

6. Beban kerja dan stress.

Kerja pun kerja jugak, tapi kalau hidup dah tunggang langgang dek beban kerja yang melampau, apalah makna kehidupan korang tu. Kemudian tiap kali pergi kerja jadi stress. Membawa pulak sampai kerumah. Keluarga pula jadi mangsa tekanan hidup korang. Berhenti je lah kerja. Cari kerja lain.

7. Tak ada hati lagi nak kerja.

Aku yang kutu lepak ni selalu ada perasaan ni. Rasa berat je nak pergi kerja. Buat kerja pun macam siput sedut je kelajuannya. Banyak penyebab yang buat korang rasa macam ni contohnya persekitaran yang tak selesa, politik dramatik dan banyak lagi. Jadi cari lah tempat kerja yang berpotensi buat kita gembira. Nak kerja pun semangat.

8. Tak ada ruang untuk maju atau naik pangkat.

Bila dah kerja takkan pula selamanya nak level sama sahaja. Nampak sangat syarikat tak menghargai perit jerih dan keringat tulang 132 kerat kita (aku pun tak tahu manusia ada berapa tulang). Kadang-kadang dalam satu jabatan ramai sangat staff senior yang tunggu giliran nak naik pangkat. Kalau macam tu berjanggut la korang kena tunggu. Tapi bergantung juga pada polisi syarikat. Apa pun, kalau rasa dah tak ada masa depan lagi dalam syarikat, carilah pilihan lain.

9. Skop kerja tidak bertepatan dengan jawatan.

Aku pernah ada kawan berjawatan engineer. Masa dapat tawaran kerja bukan main gembira macam kera dapat bunga. Lepas masuk kerja hari-hari merungut kena buat kerja office boy. Sekarang dia dah berhenti sebabnya tak puas hati dengan kerja yang tak menepati pengetahuan dan kebolehan dia. Sekian cerita tauladan...

10. Ada tawaran kerja lain.

Rezeki ni kerja tuhan. Kita tak tahu bila tuhan nak bagi mahupun nak tarik balik. Sambil-sambil kerja tu cuba intai-intai peluang yang lebih baik. Kalau dapat offer yang masyuk apa salahnya kita terima. Bukan sebab tamak. Bukan nak jadi pembelot. Sekurang-kurangnya korang dapat menaik taraf hidup korang.

Okay. Dah cukup 10. Kalau tak faham bacalah ulang-ulang. Kalau ada tanda-tanda ni dalam hidup korang cepat-cepat jumpa bos korang dan ucapkan "Bos! You are fired!". Ini sekadar pengkosian daripada bacaan dan pengalaman seorang kutu lepak.